~Terima kasih kerana mengunjungi blog ini~

Rabu, 7 Julai 2010

Seni Bela Diri Terbaik di Dunia

Seni bela diri yang dimaksudkan ternyata adalah SILAT yang berasal dari Malaysia, dan silat telah dinobatkan dua kali berturut- turut~~ Ini dia artikelnya:

SILAT DINOBATKAN SEBAGAI

SENI BELADIRI TERBAIK DUNIA

Anuar Abd.Wahab

Silat ialah seni bela diri asli bangsa Melayu (tuan Ismail Tuan Soh.1991), pada umumnya Silat Melayu ialah aliran silat yang diamalkan oleh orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan daerah yang bersempadan dengannya. Bagi mengelakkan institus ilmu kepahlawanan Melayu dikesan oleh penjajah, maka ilmu seni perang Melayu ini ditampilkan dalam bentuk permainan tradisi rakyat yang menampilkan kemahiran menggunakan kertangkasan menyerang dan mempertahankan diri yang dikenali sebagai Silat. Permainan ini berkonsepkan sifar kecederaan di samping menjaga adat tatasusila agar persembahan menjadi harmoni. Bunga Sembah atau Lela Sembah dilakukan sebagai hormat tamu yang diraikan. Permainan secara berpasangan, kedua pesilat akan berhadapan dan melakukan Pecah Langkah atau Belebat Silat mengatur strategi serang bela yang dimulakan dengan Sikap Jual dan Sikap Beli. Kedua pesilat menggunakan kaedah yang tidak mencederakan, malah dapat menampilkan kaedah yang sulit dalam bentuk yang menghiburkan. Permainan tersebut sesuai dengan perkataan Silat. Si sebagai gantinama pelaku, elat bermaksud usaha mengelirukan, tipu daya, muslihat dan ilat bermaksud kecelakaan, kemalangan atau kerugian. Silat kerap dipersembahkan di majlis-majlis rasmi, nikah kahwin atau kenduri-kendara makan pulut di mana setiap pesilat yang bermain dihadiahkan sekepal pulut berhias bunga telur, maka dinamakan Silat Pulut atau Gayung Pulut.

Pada tahun 70an, diarahkan semua kumpulan silat didaftarkan agar dapat bergerak secara sah, maka wujudlah pelbagai nama perguruan silat dari aliran Silat Melayu, diantaranya ialah Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM). Pada tahun 1983 perguruan ini telah diiktiraf sebagai ahli bertaraf badan pendiri PESAKA Malaysia. Dengan itu silat asli tempatan atau seni silat Melayu tradisi Semananjung yang dikenali sebagai Silat Pulut atau Gayung Pulut mendapat tempat serta bersaing dengan perguruan silat baru yang diciptakan oleh beberapa orang tokoh silat dan aliian perguruan pencak silat.

PSGFM telah membangunkan kaedah pendidikan silat tradisi Gelanggang Bangsal yang asaskan oleh Syeikh Abd.Rahman Tohir (1816-1839), Pendang; Kedah. kandungan pelajaran silat meliputi aspek seni, beladiri, sukan, muzik silat baku Malaysia dan kerohanian yang berdasarkan seni budaya Melayu bersendikan syarak Pada 1976 Tn.Hj.Anuar Abd.Wahab telah diangkat sebagai Guru Utama, beliau telah meningkatkan mutu pendidikan silat tradisi Gelanggang bangsal kepada Kurikulum Silat yang tekus dan setara. Berdasarkan Kurikulum Silat tradisi (sebelum 1976-1986) menjadi dasar kepada Kurikulum Baru PSGFM (1986-2004) dan Kurikulum Silat PSGFM moden piawai 2002.

Kurikulum Silat tradisi Gelanggang Bangsal menggunakan dua tajuk iaitu Bunga Sembah dan Tapak Empat (Tempur Silat). Kurikulum Baru PSGFM (1986-2002) mengandungi empat tajuk iaitu Bunga, Jurus dan Buah Pukul dan Tempur Silat. Kurikulum Silat moden Piawai 2002 (2000 ke hadapan) telah mewujudkan Sukatan Pendidikan Silat tujuh tajuk pada tujuh peringkat. Tujuh tajuk ialah Bunga, Jurus, Belebat, Tapak, Buah Pukul, Tempur Seni dan Tempur Beladiri. Misalannya Bunga merupakan asas kepada gerak dan kaedah silat iaitu tujuh langkah, tujuh kuda-kuda dan tujuh limbai. Gerak dan kaedah silat berdasarkan gerak manusia, secara fitrah manusia dapat mempertahankan diri dengan akal dan tulang empat kerat.

Kurikulum Silat PSGFM moden piawai 2002 dahulunya dikenali sebagai Kurikulum Seni Silat Malaysia yang pernah diperturunkan kepada kepada lebih daripada 200 orang Guru Silat dan Jurulatih Kanan Silat dari pelbagai aliran perguruan silat di Malaysia. Kurikulum Seni Silat Malaysia telah dipinggirkan dari program PESAKA Malaysia bagi memberi laluian kepada pembangunan program pencak silat di Malaysia. Kurikulum Silat tersebut telah dikembalikan kepada Tn.Hj.Anuar Abd.Wahab selaku pengasas dan penyusunnya. Beliau selaku Guru Utama PSGFM telah memperturunkan Kurikulum tersebut kepada perguruannya sendiri dan dinamakan Kurikulum Silat PSGFM moden piawai 2002.

PSGFM merupakan silat asli tempatan yang lengkap dari aspek pakaian Melayu dengan tengkolok Fatani ikatan Belah Mumbang, keaslian gerak dan kaedah silat, peralatan pergendangan silat, lagu dan irama silat tari dan tempur silat (Gendang Perang) serta mengamalkan adat istiadat Melayu bersendikan Syarak, Islam. Kaedah permainan Silat Pulut atau Gayung Pulut masih kekal di dalam Kurukulum Silat tradisi prguruan ini. Kurikulum Silat Baru telah menjadikan PSGFM berjaya menjadi Juara Kumpulan dalam Kejuaraan Silat Kebangsaan Malaysia (1991, 1992 dan 1994). Kurikulum Silat PSGFM moden piawai 2002 terus menjadikan PSGFM berjaya dinobatkan sebagai Juara Kumpulan Persembahan Terbaik dalam kejuaran Seni Bela Diri Dunia anjuran IMGC (2004 dan 2005).

PSGFM lebih dikenali di peringkat antara bangsa apabila pasukan silat PSGFM diberi kesempatan mempersembahkan Silat bersama-sama 11 pasukan seni bela diri dunia terbaik dunia (Judo, Sumo, Karate, Ju Jutsu, Samurai, Capoeira, Freestyle, Nuncahku, Taekwondo dan Shaolin Kung Fu) dalam Program Jelajah 15 kota German pada 2004. PSGFM dinobatkan pada kali pertama menjadi Juara Kategori Persembahan Kumpulan Terbaik yang disertai oleh 12 jenis seni bela diri terbaik dunia dari 40 negara. di Kejuaraan Pertama International Martial Arts Games (IMGC) pada Sept. 2004 anjuran International Taekwondo Federation (ITF) di Piongyang, Korea Utara. PSGFM telah dinobatkan kali kedua sebagai Juara Kategori Persembahan Kumpulan Terbaik antara 12 seni bela diri terbaik dunia di Kejuaraan IMGC pada Mei 2005 anjuran Kungfu/Wushu di Perugia, Itali. Susulan daripada itu, PSGFM dijemput mengadakan Seminar Bengkel Silat di Perancis, Austria dan lain-lain di peringkat antarabangsa. Seminar begkel berikutnya ialah pada bulan Julai 2007 di Austria yang disertai oleh peminat silat, pencak silat dan seni beladiri Eropah (Azi Wahija Yop).

Pengiktirafan kemenangan sebanyak dua kali berturut-turut adalah hasil pengadilan daripada kalangan pakar pelbagai seni bela diri terbaik dari beberapa negara dunia. Seluruh peserta dan penganjur bangga dengan silat sebagai Juara dalam IMGC. Silat telah melengkapkan dan meningkatkan mutu seni bela diri dunia. Mereka kagum melihatkan kesempurnaan dan kehalusan Silat sebagai seni bela diri berseni dan beradat. Bukan mudah untuk bersaing dalam seni bela diri dunia yang serba lengkap dan kukuh dari aspek kepakaran, ekonomi, promosi serta kemudahan. Anggaplah bahawa kemenangan tersebut merupakan kejayaan bersama kepada Silat, khususnya kepada aliran Silat Melayu yakni silat tempatan atau seni silat Melayu tradisi Semenanjung dari yang serumpun dan yang sebenih dengannya yang dikenali sebagai Silat Pulut atau Gayung Pulut. Dari peristiwa tersebut, dunia seni beladiri telah mengenali Malaysia sebagai negara Silat.


Majulah Silat, setanding kung fu, karate, taekwondo dan seumpamanya~~

*sumber: http://www.pesilat.com.my/v2/media/artikel/edisi-april/silat-dinobatkan-seni-beladiri-terbaik-dunia.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan